Penyelesaian Perang Dunia Kedua di Eropah dan di Asia

 

1.0 Pengenalan

 Kebekuan dan kelembapan Liga Bangsa ditambah pula dengan perselisihan dalaman telah gagal menyekat berlakunya perang dunia kedua. Kegagalan Liga Bangsa ini menyebabkan kuasa-kuasa besar membentuk pakatan yang bersaingan yang akhirnya mengancam keselamatan dunia. Perang Dunia Kedua bermula pada September 1939 dengan serangan Jerman ke atas Poland. Perang dunia berakhir di Eropah dengan pengakuan kalah oleh Jerman kepada pihak Bersekutu yang diketuai oleh Amerika Syarikat, Soviet Union dan Great Britain pada 9 Mei 1945. Di Asia, perang bermula dengan serangan Jepun ke atas China pada Julai 1937, perang di Asia tamat bila Jepun menyerah kalah kepada pihak Bersekutu pada 14 Ogos 1945.

            Apabila perang Dunia Kedua bermula, Amerika Syarikat masih terus mengamalkan dasar berkecuali (walaupun secara tidak sepenuhnya). Walau bagaimanapun dasar ini akhirnya berubah apabila Jepun yang melibatkan diri dalam perang dunia kedua menyerang Amerika Syarikat di Pearl Harbor pada Disember 1941.[1] Sementara itu pada Ogos 1941, Presiden Roosevelt dan Winston Churchill mengadakan pertemuan di New Foundland dan ini telah melahirkan Piagam Atlantik yang umumnya bertujuan mewujudkan  prinsip-prinsip am keamanan. Antara lain isi-isi Piagam Atlantik adalah:

1.      Tidak ada sebuah wilayah pun yang boleh diperbesarkan oleh mana-mana kuasa.

2.      Tidak ada sebuah wilayah pun yang boleh ditukar ganti bertentangan dengan kehendak  rakyatnya.

3.      Hak untuk manusia memilih bentuk kerajaan yang disukai dan menggantikan kembali kerajaan yang telah dijatuhkan.

4.      Hak untuk semua bangsa berdagang di seluruh dunia.

5.      Kerja sama antarabangsa untuk meningkatkan situasi kerja, buruh mahir, perkembangan ekonomi dan kesihatan sosial.

6.      Keamanan dan keselamatan dengan bebas dari rasa takut .

7.      Keamanan “hendaklah membolehkan semua orang bergerak dilaut dan lautan tanpa halangan”.

8.      Menghentikan kekuatan tentera pihak yang menimbulkan kekacauan untuk mewujudkan  sistem keamanan  yang berkekalan.[2]

Penglibatan Amerika Syarikat dalam perang dunia kedua bermula dengan serangan Jepun ke atas Pearl Harbor. Serangan-serangan ini secara dramatik telah mengakhiri perdebatan tentang perang ataupun kedamaian di Kongres Amerika Syarikat. Beberapa hari selepas kelulusan Kongres, melalui radio-radio di Amerika Syarikat mengesa supaya satu strategi utama oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya (pihak Bersekutu) mesti dilakukan.

            Bagi rakyat Amerika Syarikat “...together with other free peoples, we are now fighting to maintain over right to live among our world neighbours in freedom and in common decency, without fear of assault...”.[3] Tidak lama selepas pengeboman Pearl Harbor, Churchill pergi ke Amerika Syarikat untuk membincangkan rancangan perang. Ini merupakan usaha awal Roosevelt, Churchill dan negara-negara lain bagi menentang kuasa Paksi (Axis).[4] Bagi menyelesaikan perang Dunia Kedua Roosevelt, Churchill dan Stalin melakukan beberapa persidangan penting yang di antaranya ialah persidangan Casablanca, Tehran, Yalta dan Potsdam.

 1.1 Casablanca

Salah satu persidangan yang diadakan semasa perang berlangsung ialah Persidangan Casablanca yang diadakan di Maghribi, daripada 14 hingga 25 Februari 1943. Persidangan ini hanya dihadiri oleh Roosevelt dan Churchill. Manakala Stalin tidak dapat menghadirkan diri disebabkan situasi di Soviet begitu meruncing. Tujuan utama persidangan Casablanca diadakan adalah untuk merancang strategi perang bagi melemahkan kekuatan Jerman. Bagaimanapun maklumat daripada Roosevelt dan Churchill tentang butir-butir  hasil persidangan Casablanca sangat kabur dan tidak infomatif. Apa yang jelas melalui pengumuman Roosevelt bahawa perbincangan adalah berkait dengan “Unconditional Surrender” (Serah kalah tanpa syarat). Dalam perbincangan di Casablanca, Roosevelt dan Churchill percaya keamanan dunia hanya dapat dicapai dengan penghapusan sepenuhnya kuasa perang Jerman dan Jepun. Untuk mencapai matlamat ini  mereka hanya memerlukan formula yang mudah iaitu melalui “Unconditional Surrender” oleh Jerman, Itali dan Jepun. “Unconditional Surrender” bagi Amerika Syarikat dan Great Britain bertujuan untuk memberi jaminan yang berpatutan/munasabah terhadap keamanan dunia untuk generasi akan datang. “Unconditional Surrender” juga bukanlah bermaksud memusnahkan rakyat Jerman, Itali atau Jepun, tetapi hanya bermaksud untuk memusnahkan atau melenyapkan falsafah politik di Jerman, Itali dan Jepun yang berasaskan penaklukan (conquest) dan penguasaan (subjugation) terhadap manusia lain.[5] Apa yang penting tindakan ini diharapkan dapat memberi jaminan untuk menamatkan peperangan.[6]

            Apa yang diperkatakan oleh Roosevelt adalah tidak ada perundingan keamanan dan kompromi dengan Nazisme dan Fasisme, dan Jerman tidak boleh melepaskan diri dari fasal-fasal 14 perkara yang dicadangkan oleh Wilson. Roosevelt tidak mahukan kompromi bertujuan untuk membawa balik rakyat Amerika Syarikat, Soveit Union, China, Perancis dan negara-negara lain yang ditawan ke arah keamanan yang berkekalan tanpa wujudnya kekuatan berterusan ketenteraan Jerman dalam bentuk apa sekalipun. Untuk mengalahkan Jerman perancangan perang turut mulai membincangkan strategi yang berkesan untuk memulakan serangan ke atas Jerman iaitu melalui pantai Afrika Utara di laut Mediterranean. Pasukan tentera bersekutu akan menyerang bahagian yang paling lemah kedudukan tentera Paksi dan Jerman iaitu melalui strategi “Under Belly of Axis”. Perlaksanaan strategi ini terbukti apabila Amerika Syarikat dan Great Britain memulakan gerakan ketenteraan daripada Afrika utara dan bukannya terus melalui England.

            Pada pertengahan tahun 1943 rancangan ketenteraan yang dirancang mula dilaksanakan oleh Amerika Syarikat dan Great Britain. Pada peringkat awal kedua-dua negeri memulakan kempen di kawasan Afrika utara dengan tindakan menawan Pulau Sicily (10 Julai hingga 17 Ogos 1943) dan kemudiannya penaklukan Itali pada 3 September 1943. Selepas kejayaan kempen di laut Mediterranean, fasa kedua pula menimbulkan masalah iaitu sama ada serangan ke atas benua eropah (Jerman) akan dilakukan melalui Balkan dan Eropah Timur ataupun terus melalui Cross-Channel (Selat Inggeris). Sehingga akhir tahun 1943, tidak ada keraguan tentang kejayaan operasi yang akan dilakukan melalui Cross-Channel. Dalam perancangan  operasi ini didapati kerja sama Soviet Union amat diperlukan bagi menjayakannya. Hal ini telah dibincangkan dengan lebih lanjut melalui Persidangan di Tehran yang diadakan pada 28 November hingga 1 Disember 1943.

1.2 Persidangan Tehran

Dalam perjalanan ke Tehran, Roosevelt, Churchill dan Chiang Kai Chek telah mengadakan persidangan di Cairo, Mesir, pada 22 hingga 26 November 1943. Tiga keputusan telah diperolehi hasil perbincangan ini iaitu:

1.      Jepun hendaklah menyerahkan semua pulau-pulau di Pasifik yang telah dirampas atau ditakluki sejak bermulanya perang dunia pertama pada tahun 1914. Begitu juga dengan wilayah-wilayah Jepun yang dirampas daripada China misalnya Manchuria dan Farmosa  dan lain-lain pulau yang dirampas oleh Jepun hendaklah dikembalikan.

2.      Jepun akan disingkirkan daripada semua wilayah yang telah diambil secara kekerasan dan berlebih-lebihan.

3.      Perhambaan rakyat Korea patut dibayar dengan memerdekakan Korea.

Persidangan Tehran telah diadakan daripada 28 November hingga 1 Disember 1943 di Tehran, Parsi (Iran). Suasana persidangan berlangsung dalam keadaan yang begitu baik dan harmoni. Dalam persidangan ini satu keputusan penting telah dicapai iaitu rancangan serbuan ke atas Cross-Chanell (Selat Inggeris) yang dikenali sebagai OVERLORD yang akan dilakukan pada bulan Mei atau Jun 1944 dengan sokongan pendaratan tentera di kawasan pantai Perancis dan pada masa yang sama Russia akan membuat serangan daripada arah Timur Jerman. Malahan sekembalinya ke Moscow Stalin turut menjanjikan bahawa Russia akan turut terlibat dalam perang menentang Jepun.

            Dalam persidangan ini, persoalan yang hangat dibincangkan adalah tentang sempadan Poland dan masa depan Jerman. Dalam perjanjian-perjanjian am ketiga-tiga pemimpin menetapkan bahawa sempadan timur Poland hendaklah berada di Curzon-Line, yang  akan memisahkan etnografi seperti yang dicadangkan pada tahun 1919. Dengan itu Poland akan kehilangan sebahagian wilayah Russia dan Ukraine yang dimiliki sejak tahun 1921 hingga 1939. Sebagai ganti rugi kepada kehilangan wilayah di timur, Poland diberi wilayah tambahan di bahagian barat di sebelah sungai Oder. Dengan perubahan ini maka Roosevelt dan Churchil telah mengkhianati Piagam Atlantik, iaitu “...freely expressed wishes of the peoples concerned”. Dalam Persidangan ini Roosevelt turut mencadangkan  supaya Jerman di pecahkan kepada lima buah negeri merdeka kecuali wilayah Ruhr-Saar dan Kiel akan diletakkan di bawah kawalan antarabangsa. Malahan Churchill lebih suka untuk mengisolasikan Prussia dan turut mencadangkan pembentukan Konfederasi Danubian yang lebih mirip kepada empayar Austro-Hungary. Walau bagaimanapun tidak ada keputusan tentang semua cadangan-cadangan ini. Walau apapun  perdebatan yang panjang tentang bahaya Nazi telah menyebabkan Roosevelt dan Churchill alpa tentang bahayanya kekuatan komunis Russia.

1.3 Persidangan Yalta

Persidangan Yalta diadakan di istana Livadia, Yalta, Semenanjung Cirmea pada 4 hingga 11 Februari 1945. Umumnya empat agenda utama dibincangkan dalam persidangan ini iaitu,

1.      Masalah Poland.

2.      Penglibatan Russia dalam perang menentang Jepun.

3.      Persoalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

4.      Pengawalan ke atas Jerman.

5.      Mengembali kerajaan-kerajaan sendiri di Eropah Timur yang pada masa itu diduduki oleh tentera Russia (melibatkan status negara-negara Eropah Timur selepas perang).[7]

Walau bagaimanapun semasa persidangan berlangsung peperangan belum lagi tamat dan menjelang awal tahun 1945 Jerman banyak menghadapi kemusnahan. Malahan banyak bandar-bandar di Jerman yang hancur akibat dibom oleh pihak Bersekutu. Menjelang awal tahun 1945 tentera Amerika Syarikat dan British sedang bersiap sedia di sebelah sungai Rhine manakala tentera-tentera Soviet sedang berada 100 batu daripada Berlin. Dengan kemaraan tentera-tentera Soviet mereka berjaya menduduki Finland, Poland, Romania, Bulgaria, Hungary, Yugoslavia dan Chechoslovakia. Kekalahan Jerman dibanyak medan pertempuran menyebabkan pihak Bersekutu mengandaikan perang akan dapat ditamatkan tidak lama lagi dari tarikh persidangan Yalta.

 Beberapa keputusan telah dicapai.

1. Persidangan PBB, adalah dicadangkan Pertubuhan Dunia hendaklah dipanggil bersidang pada hari Rabu 25 April 1945 dan hendaklah diadakan di Amerika Syarikat.

Negara-negara yang menghadiri persidangan ini hendaklah United Nations yang wujud pada 8 Februari 1945.

2. Deklaration of Liberated Europe. Pemimpin Soviet, UK dan USA, secara bersama akan mengumumkan perjanjian bersama untuk merencanakan tempoh sementara darurat di Eropah sebagai dasar tiga negara untuk membantu rakyat di negara-negara satellit yang dibentuk oleh kuasa Paksi di eropah bagi membantu membebaskan diri dari dominasi Nazi Jerman dan untuk menyelesaikan masalah politik dan ekonomi.

3. Pengawalan Jerman. Membincangkan masa depan Jerman. Amerika Syarikat, Great Britain dan Soviet Union mengisytiharkan penubuhan “Majlis Tertinggi” yang akan mengambil langkah-langkah termasuklah melucutkan senjata sepenuhnya, pencegahan ketenteraan (demilitarization) dan membahagikan wilayah Jerman yang dipercayai boleh membawa kepada keamanan dan keselamatan dunia sejagat.

4. Zone of Occupation for the France and Control Councill for Germany. Zon Perancis akan dibentuk oleh Amerika Syarikat dan British di kawasan zon mereka di Jerman. Perancis juga dijemput untuk menjadi ahli the Allied Control Councill of Germany.

5. Ganti rugi perang.

Jerman mesti membayar ganti rugi perang terhadap negara-negara Bersekutu terutamanya negara-negara yang menanggung beban peperangan dan banyak mengalami kemusnahan.

Ganti rugi adalah dalam tiga bentuk:

Membawa keluar harta kekayaan Jerman misalnya alat pengangkutan, mesin, kapal dan lain-lain lagi.

Penghantaran setiap tahun barang pengeluaran Jerman untuk satu jangka masa yang akan ditetapkan.

Penggunaan buruh Jerman.

6. Jenayah Perang. Masalah jenayah perang akan diserahkan kepada setiausaha luar negeri ketiga-tiga negara untuk dibincangkan kemudian.

7. Poland. Di Poland akan dibentuk sebuah kerajaan baru. Manakala sempadan di bahagian timur dan barat Poland akan  diubah.

Pemimpin ketiga-tiga negara Amerika, British dan Soviet bersetuju selepas dua atau tiga bulan  Jerman menyerah kalah dan perang dieropah berakhir, Soviet diminta terlibat dalam perang menentang Jepun bagi pihak Bersekutu iaitu:

1)      Mengekalkan status-quo Republic Rakyat Mongolia.

2)      Memulangkan semula wilayah Russia yang diserahkan kepada Jepun selepas perang Russia-Jepun pada tahun 1904. Ini termasuklah kawasan Sakhalin selatan, Jalan keretapi di Timur China dan Selatan Manchuria hendaklah dioperasi secara bersama melalui Soviet-Chinese Company.

3)      Pulau Kuril hendaklah diserahkan kepada Soviet.[8]

 1.3.1 Analisis Persidangan Yalta

 Hasil-hasil persidangan hanya memberikan keputusan yang sementara sahaja. Malah Persidangan Yalta telah banyak mendapat kritikan. Di antara kritikan-kritikan tersebut adalah,

1)      Penyerahan sebahagian wilayah Poland kepada Soviet Union dan sebahagian wilayah Jerman kepada Poland. Ini telah mengkhianati pernyataan Piagam Atlantik tanpa mengadakan pungutan suara iaitu tidak ada sebuah kuasapun yang boleh menambahkan wilayah selepas berakhirnya perang Dunia Kedua. Begitu juga dengan hak bangsa menentukan kerajaan yang disukai turut dikhianati.

2)      Mereka mengkhianati banyak asas-asas kemanusiaan dan ‘civilised warfare’ dengan mengizinkan buruh paksa sebagai gantirugi peperangan.

3)      Merosakkan dasar luar Amerika Syarikat di Timur Jauh iaitu dengan jemputan kepada Stalin untuk campur tangan di Jepun dan mendominasi Manchuria.[9]

4)      Mewujudkan pertelingkahan yang berpanjangan apabila pulau-pulau Jepun telah diserahkan kepada Soviet.

Yalta dikecam hebat disebabkan kesan daripadanya membawa kehancuran secara menyeluruh Nazi Jerman dan Jepun. Malah ramai yang percaya Roosevelt terlalu mengalah kepada Russia dalam persidangan Yalta. Walau bagaimanapun keadaan kesihatan Roosevelt yang tidak begitu baik mungkin salah satu sebab yang menjadikan keputusan persidangan banyak memihak kepada Soviet. Ini dibuktikan tidak lama selepas Yalta Roosevelt telah meninggal dunia. Walau apapun keputusan yang dicapai nyata Yalta telah menjadi focal point kepada era Perang Dingin yang berlaku selepas tahun 1945. Ini dibuktikan dengan permasalahan yang dibincangkan di Yalta seperti masalah sempadan Poland, PBB, penglibatan Soviet dalam perang menentang Jepun, permasalan Jerman dan Austria telah menjadi bones of contention di antara dunia Timur dan Barat pada tahun-tahun kemudiannya.[10]

1.3.2 Berakhirnya Perang di Eropah

Menjelang 1 Mei 1945, tentera-tentera Soviet dilaporkan telah menawan Berlin dan Hitler pula telah membunuh diri. Pada 7 Mei 1945, wakil pihak Jerman telah menandatangani serah kalah Jerman di Reims. Dan pada hari berikutnya Presiden Truman dan Churchill telah mengisytiharkan V-D (Victory in Europe) Day. Dan pada 9 Mei 1945 penyerahan secara rasmi Jerman dilakukan  di Berlin dan dengan itu Stalin mengisytiharkan berakhirnya perang bagi rakyat Russia. Dengan berakhirnya perang di Eropah, masalah yang tinggal hanya perang di kawasan Pasifik yang belum selesai. Tidak lama selepas persidangan Yalta diadakan mesyuarat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah diadakan di San Fransisco, Amerika Syarikat. Dan sebelum Jepun menyerah kalah diadakan pula persidangan Potsdam di Jerman.

  1.4 Potsdam

Persidangan Potsdam merupakan kemuncak kepada mesyuarat ketiga-tiga negara Amerika Syarikat, Great Britain dan Soviet Union. Persidangan ini diadakan pada 17 Julai hingga 2 Ogos 1945 di Potsdam, Jerman. Persidangan ini turut menyaksikan penggantian Presiden Roosevelt oleh Henry S. Truman dan Perdana Menteri Churchill oleh Clement Atlee. Dengan naiknya Truman maka ia turut mempengaruhi pendekatan yang diambil oleh Amerika Syarikat dalam persidangan Potsdam. Selepas menjadi Presiden Amerika, Truman pernah mengatakan kepada duta Soviet di Amerika iaitu Harriman, “kita tidak takutkan Russia”, dan mengatakan Russia lebih memerlukan Amerika berbanding keperluan Amerika terhadap Russia.[11] Dengan penggantian Truman ia dikatakan turut mempengaruhi dasar Amerika terhadap perhubungan dengan Russia malah ia dikatakan begitu jauh berbeza dengan pendekatan yang diambil oleh Roosevelt.  Sikap Truman ini dapat dilihat dengan kenyataan beliau pada Julai 1941 bahawa “if we see that Germany is winning the war we ought to help Russia, and if Russia ia winning we ought to help Germany, and in that way let them kill as many as people”.[12] Di sini jelas sekali menunjukkan sikap Truman yang bencikan komunis Russia dan juga Nazi Jerman. Tindakan Truman yang jelas menimbulkan prejudis pihak Soviet bermula bila Truman menolak perlaksanaan Yalta, khususnya yang berkait dengan Poland. Justeru itu Stalin melihat dasar Truman sebagai tanda-tanda amaran kepada Russia. Ini dibuktikan dengan pertelagahan di dalam persidangan Potsdam dan juga di mesyuarat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

            Secara umumnya beberapa keputusan penting telah dicapai dalam persidangan ini iaitu tentang pembubaran tentera Jerman, penghapusan Nazi dan wujudnya demokrasi di Jerman. Pampasan perang dan zon-zon pendudukan tentera Bersekutu turut juga dibincangkan. Dalam persidangan inilah perbalahan bermula di antara Truman dengan pihak Russia. Truman dalam memoirnya menuduh Russia cuba untuk menguasai dunia. Misalnya persoalan tentang laluan air (water ways) yang tidak dipersetujui oleh Stalin untuk dijadikan hak antarabangsa. Walau bagaimanapun masalah Poland telah menimbulkan pertelingkahan di antara Amerika-British dan Soviet. Ini disebabkan Soviet hanya mengiktirap kerajaan ‘Lublin Committee’ manakala Amerika dan British pula lebih mengiktirap kerajaan buangan Polish di London. Beberapa perkara lain turut menambah burukkan keadaan iaitu pada April 1943, tentera-tentera Jerman telah menjumpai beribu-ribu mayat pegawai tentera Poland yang dikatakan telah dibunuh oleh Soviet dihutan Katyn berdekatan dengan bandar Smolensk.[13] Malah peristiwa pemberontakan Warsaw 1944 yang secara sengaja tidak dibantu oleh Soviet yang menyebabkan beratus ribu orang Poland mati telah menambah tegangkan lagi hubungan di antara London dan Moscow.

            Apabila ujian bom Atom mencapai kejayaan maka ini telah menjadikan Amerika Syarikat  dan Britain  merasa  bahawa  persetujuan  supaya  Russia untuk campur tangan di

Asia Timur tidak diperlukan lagi.[14] Seperti kata Truman, “If it explodes, as I think it will. I’ll... have a hammer on those boys! [The Russian][15]

 1.4.1 Prinsip Politik.

 1.      Selaras dengan perjanjian Kawalan Jentera di Jerman, kuasa tertinggi di Jerman akan dilatih berdasarkan arahan kerajaan masing-masing, oleh ketua komander angkatan tentera USA, Great Britain dan Soviet Union dan Republik Perancis, setiap mereka di zon masing-masing, dan akan bersama mempengaruhi Jerman secara menyeluruh tentang kedudukan sebagai ahli Majlis Kawalan.

2.      Menyeragamkan kawalan ke atas rakyat Jerman.

3.      Tujuan pendudukan di Jerman melalui Majlis Kawalan adalah berpandukan:

a)      Perlucutan senjata secara menyeluruh dan pencegahan ketenteraan Jerman dan penghapusan atau mengawal semua industri Jerman yang boleh menghasilkan bahan-bahan ketenteraan.

b)      Meyakinkan rakyat Jerman bahawa mereka mesti menerima kekalahan mutlak tentera dan mereka tidak boleh lari daripada tangungjawab ke atas apa yang dilakukan.

c)      Menghapuskan Parti Nasional Sosialis.

d)      Membentuk semula politik Jerman berasaskan demokrasi untuk membentuk keamanan bersama dalam dunia antarabangsa.

4. Semua undang-undang Nazi yang diasaskan oleh rejim Hitler atau yang mencermin dan meningkatkan dikriminasi ras, sistem kepercayaan (creed) atau pandangan poltik akan dihapuskan.

5. Penjenayah perang dan sesiapa yang terlibat dalam merancang atau menjalankan usaha Nazi atau bertindak dengan  kejam atau melakukan jenayah perang akan ditahan dan dibawa ke pangadilan.

6. Semua ahli parti Nazi yang melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti dan semua mereka yang memusuhi tujuan-tujuan pihak Bersekutu akan dipecat daripada menjawat jawatan-jawatan awam dan separuh awam.

7. Mengawal sistem pendidikan di Jerman sepenuhnya bagi menghapuskan Nazi dan doktrin ketenteraan untuk memungkinkan kewujudan kerajaan yang berjaya dengan idea-idea demokratik.

8. Sistem kehakiman akan disusun semula selaras dengan prinsip-prinsip demokrasi, pengadilan berdasarkan undang-undang dan hak yang sama untuk semua warganegara tanpa membezakan ras, bangsa dan agama.

9. Pentadbiran di Jerman adalah mengarah kepada pengagihan  struktur politik dan meningkatkan tangungjawab tempatan... untuk beberapa waktu tidak ada kerajaan pusat Jerman ditubuhkan.

 1.4.3 Prinsip-Prinsip Ekonomi

 1)      Untuk menghapuskan potensi perang Jerman, pengeluaran senjata, peluru dan peralatan perang merangkumi semua jenis kapal terbang dan kapal akan dicegah dan dilarang. Pengeluaran logam, kimia, mesin dan lain-lain barang yang secara terus meningkatkan ekonomi perang akan dikawal dengan ketat.

2)      Ekonomi Jerman akan diagihkan untuk tujuan mencegah kekuatan ekonomi yang berlebihan.

3)      Dalam menyusun semula ekonomi Jerman, penekanan utama hendaklah diberi bagi membangunkan bidang pertanian dan industri-industri tempatan yang bersifat peaceful.

4)      Semasa pendudukan ke atas Jerman, kawalan ekonomi adalah bersifat sebagai satu unit.

 1.4.2 Deklarasi Potsdam

 Deklarasi Potsdam ini merupakan persetujuan yang dicapai oleh Presiden Truman, Churchill (kemudiannya diganti oleh Atlee) dan Chiang Kai-Shek di Potsdam. Tentera Jepun diminta untuk menyerah kalah tanpa syarat, untuk menghapuskan secara menyeluruh militarisme dan militarist, bagi membina satu bentuk  kedamaian, keselamatan dan keadilan. Ini juga dibuat bagi memastikan demokrasi dapat berjalan tanpa halangan di Jepun. Hukuman terhadap penjenayah perang dan melaksanakan kehendak-kehendak yang telah dicapai dalam deklarasi Cairo.[16]  Jepun mesti berjanji untuk tidak memperhambakan sesuatu bangsa atau dimusnahkan atas nama bangsa. Tentera-tentera Bersekutu akan dilantik menduduki di wilayah Jepun sehingga objektif-objektif dapat disempurnakan.

 1.4.4 Penyelesaian Perang di Asia

Semenjak Jerman menyerah kalah kepada pihak Sekutu tentera-tentera Soviet telah di pindahkan ke bahagian Timur Jauh iaitu di sepanjang Trans-Siberian Railway.  Semasa bermulanya persidangan Potsdam Jenderal Antonov (Russian Chief of Staff) telah memberitahu pihak Amerika bahawa tentera-tentera Soviet telahpun bersedia untuk menyerang Jepun di Manchuria dan Korea mulai 8 Ogos 1945. Menjelang awal bulan Ogos 1945, bilangan angkatan tentera Soviet di Timur Jauh adalah 1.5 juta orang dengan 76 pasukan infantry, 26,000 senapang dan mortar, 5,500 buah kereta kebal dan 3,900 buah kapal terbang. Dari segi bilangan tentera Jepun di Manchuria dan Kwangtung bilangan tentera Jepun adalah seramai 1.1 juta orang yang sebilangan besar mereka adalah rekrut baru yang masih belum berpengalaman dalam peperangan. Kedudukan persenjataan Jepun pula begitu ketinggalan berbanding tentera Soviet malah mereka tidak mempunyai senjata anti kereta kebal. Moral  pegawai dan tentera Jepun pula adalah begitu rendah. Dengan itu mereka adalah tidak mempunyai kedudukan yang lebih bersedia untuk menghadapi tentera Soviet.

             Dalam persidangan Potsdam iaitu pada 26 Julai 1945, Truman, Churchill dan Chiang Kai-Shek telah mengeluarkan satu Deklarasi bersama yang bertujuan supaya pihak Jepun menyerah kalah tanpa syarat dengan segera. Alternatif  kepada pernyataan ini adalah ‘complete and utter destruction’.[17] Bagi ketiga-tiga kuasa seandainya Jepun masih enggan menyerah kalah sebelum 3 Ogos 1945, maka bom akan digugurkan di Jepun. Bagaimanapun mereka bersetuju supaya negara Jepun diberi peluang untuk menamatkan peperangan dan pihak Bersekutu berjanji untuk tidak menjatuhkan maruah Maharaja Hirohito.[18]  Bagi Jepun tawaran pihak Sekutu adalah sesuatu yang mustahil, angkuh dan tidak wajar untuk dipertimbangkan.[19] Sebenarnya pada masa ini Stalin enggan menandatangani deklarasi Potsdam dan ini telah melegakan kerajaan Jepun. Akan tetapi sebenarnya kerajaan Jepun tidak mengetahui tentang persetujuan Stalin di persidangan Yalta iaitu selepas  kekalahan Jerman Soviet akan turut memasuki perang menentang pihak Jepun. Tarikh terakhir yang diberi adalah pada jam 9.15 a.m., 6 Ogos 1945.[20] Apabila Jepun masih juga enggan menerima kata dua pihak Bersekutu maka Amerika Syarikat terpaksa bertindak dengan mengugurkan bom Atom di Hiroshima dengan menggunakan pesawat B-29.

             Dengan penguguran bom Atom ini Amerika berharap dapat memendekkan masa peperangan dan menjadi cara untuk membawa kepada penyerahan Jepun tanpa syarat. Sebuah lagi bom Atom telah digugurkan di Nagasaki pada 9 Ogos 1945. Kedua-dua bencana bom dan pengisytiharan perang oleh Soviet pada 8 Ogos telah menyebabkan Tokyo terpaksa menerima deklarasi Potsdam pada 10 Ogos 1945, iaitu menyerah kalah tanpa syarat tetapi dengan deklarasi “tanpa mengandungi sebarang permintaan yang prejudis terhadap hak istimewa Maharaja Jepun”. Penyerahan Jepun telah diumumkan oleh Presiden Truman pada 14 Ogos dan pengesahan rasmi ditandatangani pada 2 September 1945, di atas kapal Missouri di Teluk Tokyo.

 Kesimpulan

 Perang Dunia Kedua telah banyak mengorbankan penduduk di Eropah dan Asia yang dianggarkan berjumlah 50 juta orang. Malah perang turut membawa kepada runtuhnya sistem ekonomi dan politik. Bagi menyelesaikan perang usaha awal oleh Roosevelt dan Churchill adalah melalui piagam Atlantik yang bertujuan untuk keamanan dunia sejagat. Bagaimanapun dalam persidangan keamanan untuk menyelesaikan perang Dunia Kedua beberapa bahagian daripada Piagam Atlantik telah dilanggar. Sebenarnya dalam beberapa persidangan, Amerika begitu menitik beratkan Piagam Atlantik sebagai dasar kepada perbincangan bagi menyelesaikan perang Dunia Kedua. Bagaimanapun sikap terlalu mengalah Roosevelt turut memudahkan Piagam Atlantik diingkari terutamanya tentang sempadan dan hak menentukan kerajaan yang disukai. Akibat daripada penggantian Presiden Roosevelt kepada Truman telah membawa perubahan yang akhirnya menimbulkan Perang Dingin di antara Amerika dan Soviet Union. Keadaan ini tidak hanya berakhir setakat perbezaan sistem ideologi malahan turut membawa kepada berlakunya perlumbaan senjata di dunia. Secara umumnya dengan berakhirnya Perang Dunia Kedua dapat disimpulkan berlaku tujuh kesan iaitu berakhirnya era kegemilangan Eropah, munculnya Amerika Syarikat dan Soviet sebagai kuasa baru, bermulanya era nuklear, munculnya gerakan nasionalisme dan pembebasan di negara-negara Asia dan Afrika dan pembentukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menjaga keamanan sejagat.[21] Gejala persaingan ideologi turut membawa kepada campur tangan Amerika dan Soviet di beberapa bahagian dunia yang akhirnya menimbulkan ketidakstabilan dari segi ekonomi, politik dan sosial di negara-negara yang menjadi mangsa rebutan pengaruh.

BIBLIOGRAFI

 Argyle, C.J. 1976. Japan At War. London: Arthur Barker Limited.

Brockway, Thomas. 1968. Basic Documents in United States Foreign Policy . USA: Van             Nostrand.

Encycloepaedia Britannica.

Fenno, Richard F. Jr. (pnys.). 1955. The Yalta Conference: Problems in American   Civilisation. Massachusetts: D.C. Heath and Company.

Higgins, Hugh. 1979. The Cold. Great Britain: Heineman Educational Book.

Mc Williams, Wayne C. dan Piotrowski, Harry. 1990. The World Since 1945. USA:    Lynne Rienner Publisher.

Pratt, Julius W. 1972. A Histroy of United States Foreign Policy. New Jersey: Prentice             Hall, Inc.



[1] Encycloepaedia Britanica, hlm. 366.

 

[2] T.A. Bailey, A Diplomatic history of the Americam People, Appleton Century-Crofts, new york, 1970, hlm. 728-729.

 

[3] Thomas Brockway, Basic Documents in United States Foreign Policy (Rev. Ed.), Van Nostrand, USA, 1968, hlm. 106.

 

[4] Julius W.Pratt, A History of United States Foreign Policy, Prentice Hall, Inc., New Jersey, 1972, hlm. 401.

 

[5] Thomas Brockway,Basic Document in United States, hlm. 112.

 

[6] Julius W. Pratt, A History of United States Foreign Policy, hlm. 402.

 

                [7] Wayne C. Mc Williams dan Harry Piotrowski, The World Since 1945: A Histroy of International Relations, Lynne Rienner Publisher, USA, 1990, hlm. 29.

 

[8] Richard F. Fenno, Jr.,(pnys.), The Yalta Conference: Problems in American Civilisation, D.C. Heath and Company, Massachustts, 1955, hlm. 38.

 

[9] Julius W.Patt, A History of United States,hlm. 407.

 

                [10] Wayne C. Mc Williams dan Harry Piotrowski, The World Since 1945: History of International Relations, hlm.38.

 

[11] Hugh Higgins, The Cold, Heineman Educational Book, Great Britain, 1979, hlm. 23.

 

                [12] Ibid., hlm. 15.

 

                [13] Hugh Higgins, The Cold, hlm. 19.

 

[14] Hugh Higgins, The Cold, hlm. 30.

 

[15] Ibid., hlm. 31.

 

[16] Julius W. Patt, A Histroy of United Stated, hlm. 410.

 

[17] C.J. Argyle, Japan At War, Arthur Barker Limited, London, 1976, hlm. 169.

 

[18] C.J. Aegyle, Japan At War, hlm. 180.

 

[19] Ibid., hlm. 180.

 

[20] George Brown Tindall, America: A Neurative History (Second Edition),W.W. Norton Company Inc., USA, hlm. 1229.

 

                [21] Wayne C. Mc Williams dan Harry Piotrowski, The World Since  1945: A Histroy of International Relations, hlm.,4.